Dengan izin Yang Maha Kuasa, sebuah lagi MASJID sudah terbina...
Masa berlalu sangat pantas.
Seperti baru semalam ia berlaku.
Ya, seperti baru semalam dia melafazkan “Aku terima nikah Farhanah binti Ibrahim dengan mas kahwinnya RM80 tunai”
Tanpa disedari, kini diri ini sudah lebih 7 bulan bergelar isteri. Sukar nak percaya, tapi itulah hakikatnya.
Kami mungkin tidak sama seperti pasangan bercinta yang lain. Tidak pernah ada calling-calling. Tidak pula bertukar SMS. Bahkan nombor telefonnya pun tidak ada dalam handphoneku. Berjumpa berdating, jauh sekali.
Kali pertama bertentang mata, dia sudahpun bergelar suami. Saat dia duduk di depanku menutur lafaz ta’liq, sukar untukku menghayati, sebahagiannya kerana terlalu malu, sebahagian lain kerana kaget, “Oh, begini rupanya suara dia”
Kami di‘adjust’ oleh orang tengah. Lillahi ta’ala, kami saling menerima atas dasar agama semata, bukan kerana rupa, bukan kerana harta. Cukuplah istikharah penunjuk Allah, menanamkan keyakinan tidak berbelah.
Sepanjang tempoh bertunang, Alhamdulillah Allah Maha Pemelihara. Tiada sidikitpun perasaan cinta, sayang, apatah lagi rindu bertamu di dada. Ikatan tunang hanya kuanggap sebagai sebuah janji antara dua insan dan dua keluarga, tidak lebih dari itu. Ia tidak menghalalkan apa-apa.
Mak abah pernah bertanya, “Langsung tak pernah kenal ni, boleh ke hidup dengan dia nanti?”
Aku hanya menjawab, “InsyaAllah”.
Setelah menikah, sukar untukku mempercayai, begitu mudah hadirnya rasa cinta biarpun si dia tidak pernah kukenal langsung selama ini. Baru 3 hari bernikah, rasa seperti dirinya sudah 3 tahun dikenali. Dan dia turut mengakui perasaan yang sama. Lebih bermakna, kami seolah tiada expectation apa-apa, dengan mudah boleh menerima each other seadanya. Subhanallah, bila menjaga hubungan sebelum bernikah, demi Allah, barakahnya amat sangat terasa pasca pernikahan.
Malam pertama kami
Malam pertama kami mungkin juga tidak sama seperti pasangan-pasangan lain. Setelah selesai majlis di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi petang itu, kami terus bersiap-siap untuk menghadiri sebuah forum di PJ. Ya, itulah program pertama kami setelah bergelar suami isteri. Di situlah dapat kutemui ramai sahabat-sahabat yang tidak berpeluang untuk ke majlisku kerana perlu menghadiri program tersebut. Seusai program, jam sudahpun menunjukkan hampir 12 malam.Kerana terlalu seronok bertemu sahabat-sahabat yang sudah lama tidak berjumpa, aku jadi lupa, si suami sedang menunggu penuh setia. Dari kejauhan dia memerhatikanku di tengah keramaian. Hendak memanggilku, dia rasa segan. Nak call pula, nombor handphoneku masih belum sempat dia dapatkan.
Bila teringat semula, terasa lucu. Manis sungguh kenangan itu. Tak sangka sudah lebih setengah tahun ia berlalu.
Antara FITNAH dan PERHIASAN TERINDAH
Bagi pasangan lain di luar sana, jika anda berjaya menjaga muamalah sebelum bernikah, tahniah. Jika anda masih berusaha, kuatkan tekad, mintalah kekuatan dari Yang Maha Kuat.
Ingatlah, setiap kali anda bertentang mata ketika keluar bersama, syaitan sedang bersorak gembira, “Yes, zina mata ini akan membawa pula ke zina hati, next step lebih mudah bagiku”
Ingatlah, setiap kali anda berbalas SMS yang berbunga-bunga itu, setiap kali anda calling-calling si dia, sama ada dengan suara manja atau tegas sekalipun, syaitan juga sedang bersorak gembira, “Pasti dia akan teringat-ingat pasangannya, tenggelam dalam rindu dan sayang, padahal si dia masih belum halal untuknya”
Ingatlah, sekalipun anda hanya menghantar SMS tazkirah yang mengingatkan si dia pada Allah, syaitan lebih tinggi melonjak riang, “Yes, dia telah tertipu dalam maksiat yang bertopengkan kebaikan, pasti hatinya akan teringat-ingat dan semakin sayang pada pasangannya, mudah sungguh aku perdaya mereka utk melakukan zina hati”
Subhanallah, andai anda rasa anda tegar diuji, usahlah terlalu yakin. Bukankah bapa kita Adam jua pernah diperangkap tipudaya sang Iblis? Iblis dan tenteranya sangat licik. Pengalamannya banyak, mulai dari zaman Adam hinggalah sekarang.
Semoga kita semua termasuk insan-insan yang sentiasa bernaung dalam pemeliharaan Allah, yang akar imannya masih teguh berdiri walau badai maksiat begitu kuat melanda.
Ketahuilah, 2 fitnah terbesar akhir zaman terdiri dari harta & WANITA. Wahai insan-insan yang bergelar wanita di luar sana, jagalah diri, jagalah iman, jagalah maruah sebagai seorang wanita solehah. Jangan sampai anda menjadi FITNAH yang melebur ego lelaki, merobek iman mereka, menghancur taqwa mereka, melupakan mereka pada YANG ESA, mengheret mereka ke jurang seksaNYA... Sedangkan merekalah yang sepatutnya memimpin kita. Teruskan usaha anda untuk menjadi mawar-mawar berduri yang dengannya maruah anda dijaga rapi, tidak akan tercalar hanya kerana manusia bernama lelaki.
Dan kikislah duri tersebut suatu hari nanti, hanya untuk seorang insan bergelar suami. Saat itu, persembahkanlah cintamu, nikmatilah erti rindu, dan jadilah PERHIASAN TERINDAH untuk si dia yang HALAL untukmu.