“Ok, sebagai pembukaan halaqah hari ni, akak nak ulang balik kisah monyet yang pernah akak cerita dulu. Kisah ni dah pernah akak ulang, siapa yang ingat dan boleh ceritakan balik?”
Aku memulakan halaqah setelah membuka majlis dengan Basmallah dan Ummul Furqan, majlis nan teduh dinaungi sayap malaikat, insyaAllah.
Semua senyap, dahi masing-masing berkerut. Raut wajah yang menunjukkan mereka sedang berusaha mengingatkan sesuatu. Sesuatu yang barangkali pernah didengar, namun sekarang hanya tinggal samar-samar.
Aku masih menyimpul senyum.
Setelah beberapa ketika suasana senyap, tiba-tiba salah seorang bersuara.
“Oh, ada-ada.”
“Ha, boleh ceritakan balik kisahnya?” Syukur ada juga yang masih ingat. Aku mulai mendengar, dengan penuh semangat.
“Hm, ada seekor monyet, dia panjat pokok kelapa. Hm, pastu macamana entah. He, dah lupa la kak, akaklah ceritakan balik?”
Aku senyum semula. Beberapa hari sebelum itu, kami semua bercuti sebelum masuk sesi akademik baru. Kami lain-lain course, lain-lain year. Ada yang nursing, dentist, medic. Ada yang masuk 3rd year, 4th year, 5th year. Ada yang cuti 1 minggu, 2 minggu, 3 minggu. Sempena semua baru pulang dari bercuti, aku mengambil peluang mengulang kembali kisah monyet yang sama.
Kisah monyet yang sama juga, pernah kuceritakan kepada adik bongsuku suatu ketika dulu, 1 atau 2 tahun yang lalu. Baru-baru ini ketika cuti, saja aku bertanya, apakah dia masih ingat ‘Kisah Monyet’ yang pernah kuceritakan dulu. Hampir saja 100% aku yakini, dia tak mungkin masih ingat cerita yang satu ini. Dek terlalu yakin, aku sampai mengatakan,
“Aqin mesti tak ingat kan?”
“Aqin ingat. Monyet ni panjat pokok kelapa yang tinggi. Sampai kat atas tu, tiba-tiba angin bertiup kencang. Macam ribut taufan. Tapi makin kuat angin bertiup, makin kuat monyet ni peluk pokok kelapa tu. Last-last ribut taufan pun berhenti, monyet ni tak jatuh pun.
Lepas tu, angin lembut pulak bertiup, angin sepoi-sepoi bahasa. Monyet ni pun leka, dia rasa sedap je angin tu. Makin lama, makin perlahan dia peluk pokok kelapa tu, last-last monyet ni pun jatuh bedebuk atas tanah”
Maka terkedulah si kakak ini. Punyalah aku terperanjat dan tidak menyangka sama sekali, adik lelakiku ini mampu menceritakan kembali, setiap butir perkataan yang pernah kuceritakan padanya dulu, siap dengan menggunakan perkataan yang sama lagi!
“Pengajarannya?” aku buat-buat selamba. Saja ingin menguji lagi. Apakah dia akan gagal kali ini?
“Pengajaran dia, manusia ni, bila susah je ingat Allah. Makin Allah bagi ujian, makin kita ingat dan dekat dengan Allah. Macam monyet tu tadi. Lagi kuat angin bertiup, lagi kuat pokok tu dia peluk.
Tapi bila Allah bagi kita senang sikit, manusia ni sekejap je lupa Allah. Angin bertiup sedap je, monyet ni pun leka, last-last jatuh ke tanah”
Terkedu lagi si kakak ini.
Akhirnya aku tidak dapat menyembunyikan perasaan. “Macamana Aqin boleh ingat ek semua yang akak cerita ni? Akak tanya kawan akak semua tak ingat pun. Semua tak dapat ceritakan balik macam Aqin buat”
“ALAH, AQIN CERITAKAN KAT KAWAN AQIN”
Lesson #1:
Jangan underestimate orang.
Lesson #2:
Berkongsi ilmu dengan orang lain bukan sahaja dapat mengukuhkan ilmu di dada, bahkan dapat menguatkan memori kita.
Lesson #3:
Ambillah pengajaran kisah monyet ini, dan kongsikan =)
Aku suka mengaitkan kisah ini dengan student life. Sebab itu kuulang kembali kisah yang sama selepas cuti. Kisah yang cukup simple, namun cukup terkesan buat muhasabah untuk sahabat-sahabat dan yang paling utama diri sendiri. Sebelum exam, wah bukan main khusyuk solatnya, doa pun beriya. Sujud pun lama daripada biasa. Tapi once habis exam je, bila cuti je, hmm...
Lesson #4:
Jangan jadi seperti monyet ini.
~Adaptasi kisah monyet diperoleh daripada untaian nasihat Allahyarham Ustaz Rahmat Abdullah yang dilakonkan semula dalam filem Sang Murabbi. Nasihat Allahyarham seringkali singkat sahaja, namun begitu berisi dan terkesan di jiwa. Moga Allah merahmatinya dan merahmati kita semua. Ameen.