Thursday, June 17, 2010

Coretan dari Suroboyo Part XI - Bali




Hari Khamis pada minggu terakhir, kami ke Bali. Kuakui, Bali tidak termasuk dalam rancanganku secara peribadi. Namun kerana kami ke sini secara kolektif, maka aku mengikut sahaja rencana mereka yang lain.


“Hana, kenapa macam sedih? Happylah sikit, kita dah kat sini (Bali)…”


Walaupun tidak pernah ku terfikir untuk ke Bali sebelum ini, namun rencanaNya mengatasi segala. Aku cuba untuk mengutip sebanyak mungkin mutiara tarbiyah di sini, dengan sedaya upaya.


Saat kami dalam perjalanan ke pantai, air mataku mengalir deras tanpa dipinta. Sudah cuba kutahan, namun tidak berdaya. Lalu cuba kututupi agar tidak kelihatan oleh sahabatku yang lainnya. Sangat sedih bila melihat ibadah yang seharusnya dimurnikan hanya untuk Allah, dipersembahkan untuk selainNya.

Sangat menyayat hati bila melihat mereka bersungguh-sungguh beribadah, tanpa menyedari mereka sebenarnya sedang mensyirikkan Tuhan yang Maha Esa, satu-satunya yang layak disembah.



Sungguh, bumi Bali cukup dahagakan seruan dakwah dan cahaya Islam.


Alhamdulillah di kala sahabat-sahabatku sibuk bermain water sports, Allah izinkan aku duduk sambil bertafakkur. Sungguh, yang paling kutakuti adalah nyawaku diambil saat aku terbuai oleh keseronokan dunia, saat aku lupa padaNya.

Permainan parasailling, flying fish benar-benar mengingatkanku pada kesenangan dunia yang sifatnya fana, sangat menggembirakan, sangat menyeronokkan, sangat mengujakan…


Namun…


Hanya sementara…

Kegembiraannya sekejap cuma…

Tanpa disedari, sudah mendarat di pantai semula…

Segalanya berlaku seakan dalam sekelip mata…

Dan… Begitu jualah sifatnya dunia…

Umpama masuk ke rumah melalui pintu depan, dan keluar semula dari pintu belakang. Persinggahan yang cukup sebentar.

Ibarat melintasi sebuah jejambat, sedangkan destinasi sebenar adalah akhirat. Dan seringkali manusia tertipu dengan destinasi akhirnya, hingga tenggelam dalam lautan keseronokan dunia yang sifatnya hanya sementara.

(Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya: seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja. (An-naazi'aat: 46)

Na’uzhubillah, semoga kita semua tidak tergolong dalam mereka yang tertipu dengan dunia.




Maafkan daku duhai sahabat-sahabat yang kucintai, kerana tidak menyertai kalian berseronok tempoh hari…

Di saat godaan dunia dengan mudah membuatku leka…

Hati ini hanyalah ingin mengambil langkah berjaga-jaga…

Biarpun di kiri dan kanan keseronokan dunia cuba menerpa…

Meski berkali-kali kudengar ajakan “Enjoy yourself, Hana”…

Janganlah kalian mengira diriku rugi tidak turut serta…

Janganlah juga menyangka dengan berseronok aku kan gembira…

Bahkan sangat kutakuti keseronokan itu mengheretku jauh dariNya...

Dan andai itu berlaku pastinya aku kan lebih sengsara…

Kerana tiada yang bisa membuat hatiku tenang; sungguh, tiada…

Melainkan bila hatiku ini berdamping dengan Si Dia…


Kami pulang ke Suroboyo setelah 3 hari di Bali, dan akhirnya pulang ke tanah air pada tanggal 14 Juni 2010 dengan selamat di bawah pemeliharaan Allah, alhamdulillah...





No comments:

Post a Comment